Saturday, July 11, 2009

Perkongsian Pintar Bersama Sek Men Sains Kuching (SainsKu)




Pada 3-5 Julai 2009, seramai 11 orang guru dari Mozac telah berkunjung ke SMS Kuching untuk Program Perkongsian Pintar bersama calon-calon PMR dan SPM 2009. Perjalanan bermula apabila kami bertolak ke LCCT Sepang pada jam 11.00 pagi. Kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 5.10 petang dengan disambut oleh guru dan pelajar SMS Kuching diiringi oleh `banner' bagi mengalu-alukan kedatangan kami. Sungguh tidak disangka, terima kasih.


3 Julai 2009 :


Perjalanan ke SMS Kuching mengambil masa hampir 1 jam melalui jalan pinggir bandar yang masih lagi hijau dan tenang. Kami tiba di SMS Kuching jam 6.30 petang dan dijemput untuk menikmati hidangan makan malam. Oleh kerana waktu di Kuching sebenarnya awal hampir 45 minit berbanding waktu di Semenanjung walaupun angka di jam sama, tapi suasana pada ketika itu sebenarnya hampir senja dan azan maghrib berkumandang sebaik kami selesai makan.


Guru wanita menginap di Rumah HEM dan guru lelaki di Asrama Putera. Sesi Perkongsian Pintar bermula seawal jam 8.00 malam. Walaupun sebenarnya masih letih dengan perjalanan yang panjang, namun guru-guru Mozac masih lagi bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan warga SMS Kuching.


Tepat jam 8.00 malam, kami memulakan sesi bersama pelajar SMS Kuching dengan subjek KHB bersama 110 pelajar PMR di Dewan Sri Gemilang, Bahasa Inggeris SPM di Bilik e-learning dan Pendidikan Islam SPM di Bilik Kuliah. Sesi bersama pelajar berjalan dengan jayanya.


4 Julai 2009 :


Sesi bersambung dengan subjek Matematik, Matematik Tambahan, Kimia, Sains, dan Pendidikan Islam PMR. Guru-guru yang tidak terlibat mengambil kesempatan meninjau persekitaran sekolah dan berkongsi pengalaman serta kemahiran dengan guru-guru SMS Kuching dalam pelbagai bidang. Selepas makan tengahari, kami di bawa ke Pekan Serikin, kira-kira 1 jam perjalanan untuk melawat dan mencari buah tangan untuk keluarga dan rakan di Semenanjung. Bagaimanapun, hujan turun dengan lebat dan agak menyukarkan pergerakan. Makan malam kami disajikan dengan hidangan makanan laut di Serapi Corner. Hidangan malam yang menarik, berlainan dengan yang terdapat di Semenanjung, tetapi tidak kurang lazatnya. Kami turut mengambil peluang mencuba masakan baru iaitu Pucuk Paku Midin yang hanya boleh didapati di Borneo. Istimewanya sayur ini ia kekal rangup walaupun sudah dimasak. Ikan, udang, sotong, ayam dan buah-buahan termasuk nenas Sarawak yang popular amat menyelerakan.


5 Julai 2009 :


Terima kasih kepada tuan rumah, SMS Kuching kerana melayan kami dengan baik sekali. Hari ini kami akan kembali ke Melaka. Jemputlah datang ke Melaka pula. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Kami bertolak ke bandar Kuching seawal jam 8.00 pagi untuk meneruskan perrjalanan ke Kilang Kek Lapis Dayang Salhah yang terkenal. Terpesona dengan puluhan pilihan jenis kek lapis yang ditawarkan, kami rambang mata untuk dipilih, apatah lagi diberi peluang merasa semua jenis kek lapis sebelum membeli. Kami cuba merasa setiap jenis beramai-ramai, terasa seperti suasana berhari raya pula. Kami juga diberi peluang meninjau proses pembuatan kek lapis dibahagian belakang kilang tersebut.

Dari situ kami singgah di Pasar Satok untuk mendapatkan ikan terubuk masin yang menjadi `signature dish' orang Sarawak. Tidak sah kunjungan ke Sarawak jika tidak membawa pulang Ikan Terubuk Masin !



Perjalanan diteruskan ke Kuching Waterfront sebagai persinggahan terakhir sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk kembali ke Melaka. Terima kasih kepada guru-guru SMS Kuching yang rela mengorbankan waktu malam dan hujung minggu bersama keluarga untuk menjadi `pemandu pelancong' kami. Kenangan di Kuching akan tetap kekal dalam ingatan. Tak sabar rasanya untuk kembali ke Sarawak! Auk!

No comments: